Wawancara bersama En Saifullizan Yahaya
Biodata
Latar Belakang Diri
Saif dhi Yazan merupakan satu nama pena kepada salah seorang penulis puisi di
Saifullizan Yahaya telah dilahirkan di Kampar, Perak pada 27 Oktober 1975. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Bidor, Perak dan Sekolah Kebangsaan Bidor, Perak. Seterusnya beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Abdul Ghani, Bidor dan Sekolah Menengah Buyung Adil, Tapah, Perak. Selepas menamatkan pengajian di peringkat menengah, beliau menyambung pelajaran peringkat diploma di Akademi Seni Melaka (ASM) atau dikenali juga sebagai Institut Teknologi Seni
Kerjaya
Saifullizan memasuki alam pekerjaan dengan tugas pertamanya sebagai Pembantu Tadbir di Kementerian Pertahanan
Selaras dengan tugasnya di institusi yang memperjuangkan bahasa dan sastera itu, beliau turut terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti berkaitan dengan bahasa dan sastera. Beliau merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Selangor (PPS). Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (PENA). Pada tahun 2007, beliau telah mewakili Malaysia dalam bengkel Majlis Sastera Negara (MASTERA) selama 2 minggu di Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia yang turut dihadiri oleh wakil-wakil dari Indonesia dan Brunei Darussalam, di mana Kumpulan Puisinya “Rusuh Diksi” (stensilan) diterbitkan sabagai bahan rujukan sempena dengan bengkel tersebut .
Beliau juga sering diundang menjadi pembimbing penulisan kreatif di Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM) di seluruh negara sejak tahun 2001 sehingga hari ini.
Sejarah Penglibatan
Peringkat awal pembabitan beliau dalam ujana kesusasteraan Melayu ini adalah dalam genre puisi. Namun kini, beliau telah beransur-ansur mengembangkan bakatnya dalam genre cerpen, penulisan rencana sastera serta rencana umum. Karya-karya penulis muda ini pernah disiarkan di dalam media-media cetak tanah air seperti Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Wanita, Al-Islam, URTV, Mingguan
Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan puisi dan memanjangkan hasil karyanya kepada pihak media cetak seawal usia 15 tahun. Puisi pertamanya yang tersiar di dalam majalah Dewan Siswa bertajuk “Dia Seorang Kawan.” Seterusnya puisi itu telah terpilih untuk dimuatkan dalam sebuah buku antologi puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang berjudul “Rahsia” pada tahun 1992. Beliau semakin aktif menghasilkan puisi setelah menjadi salah seorang pelajar di Akademi Seni Melaka.
Pada awalnya, beliau menulis hanya berdasarkan pembacaan dan penelitian struktur puisi pemuisi-pemuisi yang terdahulu. Kemudiannya beliau telah mendapat didikan khusus daripada karyawan-karyawan tersohor seperti Shafie Abu Bakar, Othman Puteh, Ramli Isim, Dharmawijaya, Mana Sikana dan Sahlan Md. Saman dalam usaha menghasilkan puisi yang lebih mantap dan berkarisma.
Penghargaan dan Anugerah
Saifullizan Yahaya telah membuktikan bahawa usia bukan pengukur sesebuah kejayaan. Walaupun masih muda dan baharu dalam bidang penulisan, namun hasil karyanya yang berkualiti tidak dipandang sepi oleh panel penilai di dalam sesebuah pertandingan. Maka dengan itu, beberapa anugerah telah diperolehinya di peringkat kebangsaan. Antara kejayaan yang pernah dirangkul ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, 2001 menerusi puisi “Sejarah.” Selain itu, beliau turut memenangi Hadiah Sastera Tunas Cipta, Dewan Bahasa dan Pustaka 2002/2004 dengan mempertaruhkan puisi yang bertajuk “Belajar Menulis Puisi.” Pada tahun 2006 pula, beliau telah memenangi Hadiah Sastera Sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka melalui puisi “Mahkota: Jawapan Kepada Sang Sapurba yang Bertanya,” manakala puisinya yang bertajuk “Warna Perang” pula memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil.
Di samping itu, beliau telah menghasilkan cerpen-cerpen yang turut memenangi beberapa hadiah sastera dalam penulisan cerpen peringkat kebangsaan. Antaranya “Topeng” (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001), “Kerusi” (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil ke-20, 2004), “Tiga Cerita daripada Sejarah Melayu yang Tertinggal” dan “Eeh!” (Hadiah Sastera Tunas Cipta, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002/2004). Pada tahun 2006, sekali lagi beliau memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil dengan cerpennya “Si Pahlawan Pedang Kayu”.
Justeru, penulis telah terpanggil untuk mewawancara Saifullizan Yahaya yang telah memeriahkan dunia penulisan dan kepenyairan tanah air masa kini. Berikut ialah catatan wawancara penulis dengan beliau yang telah diadakan pada hari Sabtu, 31 Januari 2009 di ruang tamu pejabatnya bertempat di tingkat 21, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penulis :
Assalamualaikum. Terima kasih kerana saudara sudi meluangkan masa menerima kehadiran saya untuk sesi temuramah ini. Bolehkah saudara ceritakan, semenjak bilakah saudara mula menyedari tentang kebolehan dan baka t saudara dalam bidang penulisan ini?
En. Saifullizan:
Sebenarnya dari sekolah rendah lagi saya memang suka menulis dan meluahkan rasa pada helaian-helaian kertas tetapi pada masa itu saya cuma menganggap tulisan-tulisan itu tidak lebih sekadar satu cara melepaskan perasaan. Tapi, apabila saya masuk ke peringkat sekolah menengah, saya mula merasakan tulisan-tulisan saya itu ada nilai seninya tersendiri. Jadi, ketika berusia 15 tahun, saya mula mencuba nasib dan menghantar hasil karya saya ke majalah Dewan Siswa dan telahpun disiarkan.
Penulis :
Apakah tajuk puisi pertama saudara yang telah disiarkan di dalam majalah Dewan Siswa itu?
En. Saifullizan:
Puisi pertama saya yang tersiar dalam majalah Dewan Siswa itu bertajuk “Dia Seorang Kawan”. Puisi ini terhasil daripada pengamatan saya dengan kehidupan sekeliling saya ketika itu yang mempunyai kawan- kawan yang mempunyai pelbagai karektor, ragam dan cerita kehidupan tersendiri. Lebih menarik lagi, puisi tersebut telah terpilih untuk dimuatkan dalam sebuah antologi berjudul “Rahsia” terbitan DBP pada tahun 1992.
Penulis :
Berapa banyakkah puisi yang telah saudara hasilkan?
En. Saifullizan:
Setakat ini sekitar 120 puisi yang telah tersiar di dalam pelbagai media.
Penulis :
Adakah bakat dalam bidang penulisan ini saudara warisi daripada keluarga ?
En Saifullizan:
Saya rasa mungkin tidak, tetapi tak tahu pula saya nak cakap. Beginilah, sebenarnya saya ini berasal daripada keturunan Melayu-Cina. Datuk dan nenek sebelah ibu saya dahulunya merupakan warga Cina yang datang ke sini dan bekerja sebagai pelombong bijih timah. Apabila datuk saya balik ke Cina dan meninggalkan nenek saya di sini dan seterusnya berpisah, nenek saya telah berkahwin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam. Jadi, kalau keluarga di sebelah ibu saya, sebenarnya bakat mereka lebih dalam bidang perniagaan. Tetapi kalau di sebelah ayah saya pula, setahu saya hanya ada seorang bapa saudara yang mempunyai bakat melukis dan membuat kerja tangan. Bakat menulis puisi, cerpen atau novel itu tiadalah...
Penulis : Adakah saudara mendapat dorongan yang kuat daripada eluarga untuk menceburi bidang penulisan ini?
En. Saifullizan:
Soal dorongan... ibu, ayah serta ahli keluarga yang lain tiada halangan apabila saya menceburi bidang ini.
Penulis :
Apakah faktor-faktor yang banyak mendorong saudara untuk menulis puisi?
En. Saifullizan:
Banyak faktornya. Antaranya, saya seorang yang suka berfikir apabila menyaksikan sesuatu perkara atau mendengar sesuatu cerita. Saya sensitif pada alam dan isu-isu dalam kehidupan. Jadi, apabila saya merasa resah tentang sesuatu keadaan atau menghadapi sebarang masalah,saya rasa tempat terbaik untuk saya meluahkan perasaan adalah kepada kertas. Biasanya, selepas saya menulis saya akan rasa lega dan tenang.
Penulis :
Siapakah penulis puisi senior yang menjadi rujukan atau saudara minati?
En. Saifullizan:
Ramai. Antaranya Usman Awang, Latif Mohidin dan T Alias Taib. Mereka mempunyai gaya penulisan yang tersendiri. Puisi-puisi ciptaan Usman Awang misalnya, menggunakan diksi yang amat puitis dan kadang kala tidak terlintas di minda kita. Apabila membaca puisinya, kita akan dapat merasai betapa indah dan berseninya puisi tersebut.
Penulis :
Apakah isu-isu atau tema yang selalunya saudara cuba rungkaikan dalam karya-karya saudara?
En. Saifullizan:
Berbagai-bagai isu terutamanya persoalan diri sehinggalah kepada isu masyarakat, alam sekitar, politik dan keluarga.
Penulis :
Pada waktu bilakah yang saudara rasa paling banyak menerbitkan ilham untuk saudara berkarya? Adakah saudara memerlukan sesuatu waktu tertentu untuk menulis sesebuah puisi?
En. Saifullizan:
Ilham datang tak kira masa. Biasanya akan timbul rasa ingin menulis apabila saya dalam keadaan gelisah. Puncanya ‘marah’ kepada sesuatu situasi. Marah itu hanya bersifat dalaman dan menjadikan saya resah. Perasaan resah gelisah itu akan membuatkan saya melepaskannya dengan bait-bait kata yang dicatatkan atau terus ditaip dalam komputer. Jadi, tidak kira waktunya idea itu tercetus. Kadang-kadang waktu bangun pagi, waktu malam, di rumah, di pejabat atau pendek kata di mana-mana sajalah... Tetapi sekarang saya rasa agak sukar untuk menghasilkan puisi semenjak saya mula beralih kepada penulisan cerpen. Kalau dahulunya, hampir tiap-tiap minggu akan ada puisi saya yang tersiar, tetapi sekarang nak hasilkan sebuah puisi dalam sebulanpun saya rasa susah. Benarlah kata Sasterawan Negara A. Samad Said, genre yang paling sukar untuk dihasilkan ialah puisi. Puisi susah sebab memerlukan pemilihan diksi yang tepat dan mantap serta mempunyai nilai seninya. Kalau menulis cerpen, kita cuma menggambarkan sesuatu dalam ayat yang boleh dikarang, diubah-ubah atau dibentuk mengikut keperluan dan jalan cerita.
Penulis :
Berapa lamakah proses pemeraman sesebuah puisi sebelum saudara dapat menghasilkan puisi yang lengkap untuk disiarkan?
En. Saifullizan:
Puisi biasanya tercetus daripada isu-isu berbangkit atau isu-isu semasa. Contohnya dalam isu serangan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Proses pemeraman atau ekubasi sememangnya berlaku dalam minda saya berkaitan isu itu. Saya masih ingat lagi berita tentang perilaku tak berperikemanusiaan pihak Israel itu mula saya dengar pada 27 Disember 2008. Sellepas itu, saban hari saya dengar berita televisyen, baca surat khabar mengenainya. Perasaan marah mula meluap-luap terhadap Rejim Zionis itu. Pada 14 Januari 2009, saya merasakan amat gelisah dan tak boleh buat kerja. Akhirnya bila sampai sahaja di pejabat, saya duduk di depan komputer dan terus menaipkan luahan hati saya berkaitan isu itu. Maka terbentuklah puisi “Ain, Jangan Kau Menangis”, iaitu tentang nasib anak-anak Palestin memilukan.
Penulis :
Apakah tajuk –tajuk puisi saudara yang telah dimuatkan dalam buku-buku puisi setakat ini?
En. Saifullizan:
Antaranya, puisi saya yang bertajuk “Sejarah” yang dimasukkan dalam antologi Nasi Ayam Laut Sepinggan terbitan Utusan Publications & Distributors, “Penjual Nasi Lemak” dalam antologi Di Laman Anggerik yang diselenggarakan oleh Awaludin Md. Jahid, Sahlan Mohd Saman dan Shahrun Nizal Mohd. Nor dan diterbitkan sempena Hari Puisi Nasional XVI, Shah Alam, Selangor pada 17 – 20 Disember 2004 dan “Mahkota (Jawapan kepada Sang Nila Bertanya)” dalam antologi Di Tengah Arus, terbitan DBP pada tahun 2007. Pada tahun 2007 juga salah sebuah puisi saya iaitu “Warna Perang” telah terpilih menjadi tajuk antologi puisi Warna Perang yang diselenggarakan oleh Puan Azah Abd Aziz terbitan Utusan Publications & Distributors.
Penulis :
Apakah tajuk karya terbaru saudara?
En. Saifullizan:
Puisi terbaru saya yang diterbitkan, “Ain, Jangan Kau Menangis” dalam Genting Gaza, Gentingnya Genting yang diselenggarakan oleh Shamsuddin Othman dan S.M Zakir terbitan PENA dan “Palestinaku (mengenangmu Gaza)” dalam antologi puisi Selamatkan Anak-anak Palestin diselenggarakan oleh Salmiah Ismail dan Zaiton Ajamain terbitan DBP. Berkaitan dengan cerpen pula, cerpen yang mutakhir saya ialah “Kami Dinamai Gagak”, yang tersiar di Mingguan Malaysia pada November 2008.
Penulis :
Dewasa ini, nama-nama penulis puisi atau genre sastera yang lain agak tenggelam dan kurang dikenali oleh generasi masa kini. Apakah pendapat saudara?
En. Saifullizam:
Memang benarlah fenomena itu berlaku. Bagi saya, medium masyarakat kini dah pelbagai. Media elektronik contohnya amat berpengaruh dalam kehidupan seharian masyarakat kita. Generasi sekarang lebih suka menonton televisyen, mendengar radio atau melayari internet daripada membaca. Apatah lagi untuk membaca puisi yang memerlukan mereka berfikir untuk memahami maksudnya yang tersirat. Jika membacapun, saya perhatikan trend muda-mudi sekarang, suka membaca novel-novel cinta. Karya-karya sastera yang bertema agak berat seperti nasionalisme, keagamaan dan pendidikan tidak mendapat perhatian kecuali bagi mereka yang terpaksa kerana tuntutan pengajian atau pekerjaan. Jadi dengan budaya yang seperti ini pastinya mereka lebih kenal golongan artis seperti Siti Norhaliza dan Mawi. Cuba kita buat ‘survey’ berapa orang anak muda yang kenal atau tahu akan siapa itu Rahimidin Zahari, Aminah Moktar atau Abizai? Saya pasti hanya beberapa orang sahaja yang mungkin kata “pernah dengar nama.”
Penulis :
Oleh kerana saudara bekerja di DBP, mungkin saudara tahu serba sedikit tentang perancangan pihak saudara di DBP untuk memasyarakatkan puisi?
En. Saifullizan:
Dalam soal ini, sebenarnya kita telah membuat pelbagai perancangan. Kita telah merancang hampir 200 program untuk disiarkan di media. Malangnya bagi pihak media elektronik program-program tersebut tidak dapat disiarkan pada waktu perdana. Kalau disiarkanpun, waktu tengah malam orang dah tidur atau siang hari orang bekerja. Masalahnya pihak media elektronik ini,mereka membuat siaran berasaskan keuntungan dan program-program ilmiah amat sukar untuk mendapatkan penaja. Jadi, pihak kementerian seperti KEKWA pun tidak dapat banyak campur tangan soal ini.
Penulis :
Jadi apakah pandangan dan rancangan saudara terhadap bidang sastera di Malaysia pada masa hadapan.
En. Saifullizan:
Saya benar-benar mengharapkan agar dari peringkat sekolah lagi, bidang sastera ini tidak diletakkan pada kelas kedua. Apa yang saya ingat, semasa di sekolah menengah dahulu, pelajar-pelajar sastera dikenali sebagai “pelajar bermata merah”. Gelaran itu diberikan kerana biasanya pelajar-pelajar sastera tersebut dipilih ari kalangan mereka yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaan SRP. Markah selalu ‘merah’. Mungkin kesilapan pihak kementerian sendiri yang menganggap mata pelajaran sastera itu mudah berbanding sains. Jadi, itulah yang berlaku. Saya sendiri asalnya adalah pelajar aliran Sains tetapi disebabkan minat yang amat mendalam dalam bidang sastera, saya memohon untuk bertukar ke aliran sastera. Masa itu, saya masih ingat lagi cikgu yang banyak memberi dorongan kepada saya iaitu Cikgu Narimah. Beliaulah yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya semasa di sekolah. Pada pendapat saya, orang sains juga mampu menghasilkan puisi yang hebat-hebat. Contohnya Aminah Moktar dan Dr. Hashim Yaacob. Itu antara nama besar di dalam penulisan puisi tanah air.
Penulis :
Sebelum mengakhiri wawancara ini, apakah perancangan saudara dalam bidang ini.
En. Saifullizan:
Saya bersama rakan-rakan dan pihak DBP akan membuat perancangan untuk terus memajukan dan memperkembangkan bidang sastera di Malaysia serta mendapatkan ruang-ruang untuk mempromosinya dengan lebih meluas untuk menarik minat orang ramai agar terus membaca dan menghayati hasil karya penulis-penulis di negara kita. Saya sedar laluan promosi melalui media elekronik itu agak sukar tetapi kita akan cubalah. Saya sendiri akan berusaha untuk menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti dan mengujakan pembaca sama ada dalam genre puisi, cerpen dan yang seumpamanya. Semoga kita dapat terus mewujud budaya masyarakat membaca.
Penulis :
Terima kasih diucapkan sekal i lagi kerana sudi diwawancara bagi membantu saya melengkapkan tugasan saya dalam kursus puisi di UPM.
En. Saifullizan :
No comments:
Post a Comment