Sunday, February 15, 2009

HARUSKAH???

Haruskah???
Haruskah aku???
Meneruskan perjalanan ini???

Haruskah aku terus menyeksa diri???
Mengenepikan nikmat hidup setiap hari
Membiarkan suasana sepi menghimpit sanubari

Haruskah aku menamatkan sahaja di sini
Bagaikan tidak sanggup lagi aku terus mengharungi
Cabaran dan keperitan yang tak terperi
Demi segulung ijazah sarjana yang diidami

Tapi...
Haruskah aku mengaku kalah dalam perjuangan ini???
Pesan bonda masih aku pegangi
Akan tercalar maruah diri
Mengalah berserah sebelum dijemput Ilahi.

Bonda...
Kau terus menjadi sumber inspirasi
Walau jasad kau telah tiada di sisi
Namun roh semangat perjuanganmu terus tersemat di hati.

Friday, February 13, 2009

penatnya....
penat.....
oh penat.....
tapi aku mesti kuat.....
masihkah ada kudrat.....

Thursday, February 12, 2009

Wawancara bersama En Saifullizan Yahaya

Biodata

Latar Belakang Diri

Saif dhi Yazan merupakan satu nama pena kepada salah seorang penulis puisi di Malaysia namun amat jarang ditemui di hujung-hujung karyanya. Pemilik nama pena ini lebih selesa menggunakan nama yang dianugerahkan sejak kelahirannya iaitu Saifullizan Yahaya dalam kebanyakan hasil nukilannya.

Saifullizan Yahaya telah dilahirkan di Kampar, Perak pada 27 Oktober 1975. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Bidor, Perak dan Sekolah Kebangsaan Bidor, Perak. Seterusnya beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Abdul Ghani, Bidor dan Sekolah Menengah Buyung Adil, Tapah, Perak. Selepas menamatkan pengajian di peringkat menengah, beliau menyambung pelajaran peringkat diploma di Akademi Seni Melaka (ASM) atau dikenali juga sebagai Institut Teknologi Seni Malaysia, Melaka (ITSM). Pada tahun 1998, beliau telah melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Bahasa dan Linguistik Melayu.

Kerjaya

Saifullizan memasuki alam pekerjaan dengan tugas pertamanya sebagai Pembantu Tadbir di Kementerian Pertahanan Malaysia. Kemudiannya, beliau telah bertugas sebagai Editor di Pearson Malaysia Sdn. Bhd. Mulai tahun 2003, beliau memulakan tugas sebagai Penolong Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kerjayanya di institusi ini terus kukuh apabila kini beliau telah diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Pegawai Perancang Bahasa.

Selaras dengan tugasnya di institusi yang memperjuangkan bahasa dan sastera itu, beliau turut terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti berkaitan dengan bahasa dan sastera. Beliau merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Selangor (PPS). Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (PENA). Pada tahun 2007, beliau telah mewakili Malaysia dalam bengkel Majlis Sastera Negara (MASTERA) selama 2 minggu di Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia yang turut dihadiri oleh wakil-wakil dari Indonesia dan Brunei Darussalam, di mana Kumpulan Puisinya “Rusuh Diksi” (stensilan) diterbitkan sabagai bahan rujukan sempena dengan bengkel tersebut .

Beliau juga sering diundang menjadi pembimbing penulisan kreatif di Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM) di seluruh negara sejak tahun 2001 sehingga hari ini.

Sejarah Penglibatan

Peringkat awal pembabitan beliau dalam ujana kesusasteraan Melayu ini adalah dalam genre puisi. Namun kini, beliau telah beransur-ansur mengembangkan bakatnya dalam genre cerpen, penulisan rencana sastera serta rencana umum. Karya-karya penulis muda ini pernah disiarkan di dalam media-media cetak tanah air seperti Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Wanita, Al-Islam, URTV, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.

Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan puisi dan memanjangkan hasil karyanya kepada pihak media cetak seawal usia 15 tahun. Puisi pertamanya yang tersiar di dalam majalah Dewan Siswa bertajuk “Dia Seorang Kawan.” Seterusnya puisi itu telah terpilih untuk dimuatkan dalam sebuah buku antologi puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang berjudul “Rahsia” pada tahun 1992. Beliau semakin aktif menghasilkan puisi setelah menjadi salah seorang pelajar di Akademi Seni Melaka.

Pada awalnya, beliau menulis hanya berdasarkan pembacaan dan penelitian struktur puisi pemuisi-pemuisi yang terdahulu. Kemudiannya beliau telah mendapat didikan khusus daripada karyawan-karyawan tersohor seperti Shafie Abu Bakar, Othman Puteh, Ramli Isim, Dharmawijaya, Mana Sikana dan Sahlan Md. Saman dalam usaha menghasilkan puisi yang lebih mantap dan berkarisma.

Penghargaan dan Anugerah

Saifullizan Yahaya telah membuktikan bahawa usia bukan pengukur sesebuah kejayaan. Walaupun masih muda dan baharu dalam bidang penulisan, namun hasil karyanya yang berkualiti tidak dipandang sepi oleh panel penilai di dalam sesebuah pertandingan. Maka dengan itu, beberapa anugerah telah diperolehinya di peringkat kebangsaan. Antara kejayaan yang pernah dirangkul ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, 2001 menerusi puisi “Sejarah.” Selain itu, beliau turut memenangi Hadiah Sastera Tunas Cipta, Dewan Bahasa dan Pustaka 2002/2004 dengan mempertaruhkan puisi yang bertajuk “Belajar Menulis Puisi.” Pada tahun 2006 pula, beliau telah memenangi Hadiah Sastera Sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka melalui puisi “Mahkota: Jawapan Kepada Sang Sapurba yang Bertanya,” manakala puisinya yang bertajuk “Warna Perang” pula memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil.

Di samping itu, beliau telah menghasilkan cerpen-cerpen yang turut memenangi beberapa hadiah sastera dalam penulisan cerpen peringkat kebangsaan. Antaranya “Topeng” (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001), “Kerusi” (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil ke-20, 2004), “Tiga Cerita daripada Sejarah Melayu yang Tertinggal” dan “Eeh!” (Hadiah Sastera Tunas Cipta, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002/2004). Pada tahun 2006, sekali lagi beliau memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil dengan cerpennya “Si Pahlawan Pedang Kayu”.

Justeru, penulis telah terpanggil untuk mewawancara Saifullizan Yahaya yang telah memeriahkan dunia penulisan dan kepenyairan tanah air masa kini. Berikut ialah catatan wawancara penulis dengan beliau yang telah diadakan pada hari Sabtu, 31 Januari 2009 di ruang tamu pejabatnya bertempat di tingkat 21, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Penulis :

Assalamualaikum. Terima kasih kerana saudara sudi meluangkan masa menerima kehadiran saya untuk sesi temuramah ini. Bolehkah saudara ceritakan, semenjak bilakah saudara mula menyedari tentang kebolehan dan baka t saudara dalam bidang penulisan ini?

En. Saifullizan:

Sebenarnya dari sekolah rendah lagi saya memang suka menulis dan meluahkan rasa pada helaian-helaian kertas tetapi pada masa itu saya cuma menganggap tulisan-tulisan itu tidak lebih sekadar satu cara melepaskan perasaan. Tapi, apabila saya masuk ke peringkat sekolah menengah, saya mula merasakan tulisan-tulisan saya itu ada nilai seninya tersendiri. Jadi, ketika berusia 15 tahun, saya mula mencuba nasib dan menghantar hasil karya saya ke majalah Dewan Siswa dan telahpun disiarkan.


Penulis :

Apakah tajuk puisi pertama saudara yang telah disiarkan di dalam majalah Dewan Siswa itu?

En. Saifullizan:

Puisi pertama saya yang tersiar dalam majalah Dewan Siswa itu bertajuk “Dia Seorang Kawan”. Puisi ini terhasil daripada pengamatan saya dengan kehidupan sekeliling saya ketika itu yang mempunyai kawan- kawan yang mempunyai pelbagai karektor, ragam dan cerita kehidupan tersendiri. Lebih menarik lagi, puisi tersebut telah terpilih untuk dimuatkan dalam sebuah antologi berjudul “Rahsia” terbitan DBP pada tahun 1992.

Penulis :

Berapa banyakkah puisi yang telah saudara hasilkan?

En. Saifullizan:

Setakat ini sekitar 120 puisi yang telah tersiar di dalam pelbagai media.

Penulis :

Adakah bakat dalam bidang penulisan ini saudara warisi daripada keluarga ?

En Saifullizan:

Saya rasa mungkin tidak, tetapi tak tahu pula saya nak cakap. Beginilah, sebenarnya saya ini berasal daripada keturunan Melayu-Cina. Datuk dan nenek sebelah ibu saya dahulunya merupakan warga Cina yang datang ke sini dan bekerja sebagai pelombong bijih timah. Apabila datuk saya balik ke Cina dan meninggalkan nenek saya di sini dan seterusnya berpisah, nenek saya telah berkahwin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam. Jadi, kalau keluarga di sebelah ibu saya, sebenarnya bakat mereka lebih dalam bidang perniagaan. Tetapi kalau di sebelah ayah saya pula, setahu saya hanya ada seorang bapa saudara yang mempunyai bakat melukis dan membuat kerja tangan. Bakat menulis puisi, cerpen atau novel itu tiadalah...

Penulis : Adakah saudara mendapat dorongan yang kuat daripada eluarga untuk menceburi bidang penulisan ini?

En. Saifullizan:

Soal dorongan... ibu, ayah serta ahli keluarga yang lain tiada halangan apabila saya menceburi bidang ini.

Penulis :

Apakah faktor-faktor yang banyak mendorong saudara untuk menulis puisi?

En. Saifullizan:

Banyak faktornya. Antaranya, saya seorang yang suka berfikir apabila menyaksikan sesuatu perkara atau mendengar sesuatu cerita. Saya sensitif pada alam dan isu-isu dalam kehidupan. Jadi, apabila saya merasa resah tentang sesuatu keadaan atau menghadapi sebarang masalah,saya rasa tempat terbaik untuk saya meluahkan perasaan adalah kepada kertas. Biasanya, selepas saya menulis saya akan rasa lega dan tenang.

Penulis :

Siapakah penulis puisi senior yang menjadi rujukan atau saudara minati?

En. Saifullizan:

Ramai. Antaranya Usman Awang, Latif Mohidin dan T Alias Taib. Mereka mempunyai gaya penulisan yang tersendiri. Puisi-puisi ciptaan Usman Awang misalnya, menggunakan diksi yang amat puitis dan kadang kala tidak terlintas di minda kita. Apabila membaca puisinya, kita akan dapat merasai betapa indah dan berseninya puisi tersebut.

Penulis :

Apakah isu-isu atau tema yang selalunya saudara cuba rungkaikan dalam karya-karya saudara?

En. Saifullizan:

Berbagai-bagai isu terutamanya persoalan diri sehinggalah kepada isu masyarakat, alam sekitar, politik dan keluarga.

Penulis :

Pada waktu bilakah yang saudara rasa paling banyak menerbitkan ilham untuk saudara berkarya? Adakah saudara memerlukan sesuatu waktu tertentu untuk menulis sesebuah puisi?

En. Saifullizan:

Ilham datang tak kira masa. Biasanya akan timbul rasa ingin menulis apabila saya dalam keadaan gelisah. Puncanya ‘marah’ kepada sesuatu situasi. Marah itu hanya bersifat dalaman dan menjadikan saya resah. Perasaan resah gelisah itu akan membuatkan saya melepaskannya dengan bait-bait kata yang dicatatkan atau terus ditaip dalam komputer. Jadi, tidak kira waktunya idea itu tercetus. Kadang-kadang waktu bangun pagi, waktu malam, di rumah, di pejabat atau pendek kata di mana-mana sajalah... Tetapi sekarang saya rasa agak sukar untuk menghasilkan puisi semenjak saya mula beralih kepada penulisan cerpen. Kalau dahulunya, hampir tiap-tiap minggu akan ada puisi saya yang tersiar, tetapi sekarang nak hasilkan sebuah puisi dalam sebulanpun saya rasa susah. Benarlah kata Sasterawan Negara A. Samad Said, genre yang paling sukar untuk dihasilkan ialah puisi. Puisi susah sebab memerlukan pemilihan diksi yang tepat dan mantap serta mempunyai nilai seninya. Kalau menulis cerpen, kita cuma menggambarkan sesuatu dalam ayat yang boleh dikarang, diubah-ubah atau dibentuk mengikut keperluan dan jalan cerita.

Penulis :

Berapa lamakah proses pemeraman sesebuah puisi sebelum saudara dapat menghasilkan puisi yang lengkap untuk disiarkan?

En. Saifullizan:

Puisi biasanya tercetus daripada isu-isu berbangkit atau isu-isu semasa. Contohnya dalam isu serangan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Proses pemeraman atau ekubasi sememangnya berlaku dalam minda saya berkaitan isu itu. Saya masih ingat lagi berita tentang perilaku tak berperikemanusiaan pihak Israel itu mula saya dengar pada 27 Disember 2008. Sellepas itu, saban hari saya dengar berita televisyen, baca surat khabar mengenainya. Perasaan marah mula meluap-luap terhadap Rejim Zionis itu. Pada 14 Januari 2009, saya merasakan amat gelisah dan tak boleh buat kerja. Akhirnya bila sampai sahaja di pejabat, saya duduk di depan komputer dan terus menaipkan luahan hati saya berkaitan isu itu. Maka terbentuklah puisi “Ain, Jangan Kau Menangis”, iaitu tentang nasib anak-anak Palestin memilukan.

Penulis :

Apakah tajuk –tajuk puisi saudara yang telah dimuatkan dalam buku-buku puisi setakat ini?

En. Saifullizan:

Antaranya, puisi saya yang bertajuk “Sejarah” yang dimasukkan dalam antologi Nasi Ayam Laut Sepinggan terbitan Utusan Publications & Distributors, “Penjual Nasi Lemak” dalam antologi Di Laman Anggerik yang diselenggarakan oleh Awaludin Md. Jahid, Sahlan Mohd Saman dan Shahrun Nizal Mohd. Nor dan diterbitkan sempena Hari Puisi Nasional XVI, Shah Alam, Selangor pada 17 – 20 Disember 2004 dan “Mahkota (Jawapan kepada Sang Nila Bertanya)” dalam antologi Di Tengah Arus, terbitan DBP pada tahun 2007. Pada tahun 2007 juga salah sebuah puisi saya iaitu “Warna Perang” telah terpilih menjadi tajuk antologi puisi Warna Perang yang diselenggarakan oleh Puan Azah Abd Aziz terbitan Utusan Publications & Distributors.

Penulis :

Apakah tajuk karya terbaru saudara?

En. Saifullizan:

Puisi terbaru saya yang diterbitkan, “Ain, Jangan Kau Menangis” dalam Genting Gaza, Gentingnya Genting yang diselenggarakan oleh Shamsuddin Othman dan S.M Zakir terbitan PENA dan “Palestinaku (mengenangmu Gaza)” dalam antologi puisi Selamatkan Anak-anak Palestin diselenggarakan oleh Salmiah Ismail dan Zaiton Ajamain terbitan DBP. Berkaitan dengan cerpen pula, cerpen yang mutakhir saya ialah “Kami Dinamai Gagak”, yang tersiar di Mingguan Malaysia pada November 2008.

Penulis :

Dewasa ini, nama-nama penulis puisi atau genre sastera yang lain agak tenggelam dan kurang dikenali oleh generasi masa kini. Apakah pendapat saudara?

En. Saifullizam:

Memang benarlah fenomena itu berlaku. Bagi saya, medium masyarakat kini dah pelbagai. Media elektronik contohnya amat berpengaruh dalam kehidupan seharian masyarakat kita. Generasi sekarang lebih suka menonton televisyen, mendengar radio atau melayari internet daripada membaca. Apatah lagi untuk membaca puisi yang memerlukan mereka berfikir untuk memahami maksudnya yang tersirat. Jika membacapun, saya perhatikan trend muda-mudi sekarang, suka membaca novel-novel cinta. Karya-karya sastera yang bertema agak berat seperti nasionalisme, keagamaan dan pendidikan tidak mendapat perhatian kecuali bagi mereka yang terpaksa kerana tuntutan pengajian atau pekerjaan. Jadi dengan budaya yang seperti ini pastinya mereka lebih kenal golongan artis seperti Siti Norhaliza dan Mawi. Cuba kita buat ‘survey’ berapa orang anak muda yang kenal atau tahu akan siapa itu Rahimidin Zahari, Aminah Moktar atau Abizai? Saya pasti hanya beberapa orang sahaja yang mungkin kata “pernah dengar nama.”

Penulis :

Oleh kerana saudara bekerja di DBP, mungkin saudara tahu serba sedikit tentang perancangan pihak saudara di DBP untuk memasyarakatkan puisi?

En. Saifullizan:

Dalam soal ini, sebenarnya kita telah membuat pelbagai perancangan. Kita telah merancang hampir 200 program untuk disiarkan di media. Malangnya bagi pihak media elektronik program-program tersebut tidak dapat disiarkan pada waktu perdana. Kalau disiarkanpun, waktu tengah malam orang dah tidur atau siang hari orang bekerja. Masalahnya pihak media elektronik ini,mereka membuat siaran berasaskan keuntungan dan program-program ilmiah amat sukar untuk mendapatkan penaja. Jadi, pihak kementerian seperti KEKWA pun tidak dapat banyak campur tangan soal ini.

Penulis :

Jadi apakah pandangan dan rancangan saudara terhadap bidang sastera di Malaysia pada masa hadapan.

En. Saifullizan:

Saya benar-benar mengharapkan agar dari peringkat sekolah lagi, bidang sastera ini tidak diletakkan pada kelas kedua. Apa yang saya ingat, semasa di sekolah menengah dahulu, pelajar-pelajar sastera dikenali sebagai “pelajar bermata merah”. Gelaran itu diberikan kerana biasanya pelajar-pelajar sastera tersebut dipilih ari kalangan mereka yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaan SRP. Markah selalu ‘merah’. Mungkin kesilapan pihak kementerian sendiri yang menganggap mata pelajaran sastera itu mudah berbanding sains. Jadi, itulah yang berlaku. Saya sendiri asalnya adalah pelajar aliran Sains tetapi disebabkan minat yang amat mendalam dalam bidang sastera, saya memohon untuk bertukar ke aliran sastera. Masa itu, saya masih ingat lagi cikgu yang banyak memberi dorongan kepada saya iaitu Cikgu Narimah. Beliaulah yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya semasa di sekolah. Pada pendapat saya, orang sains juga mampu menghasilkan puisi yang hebat-hebat. Contohnya Aminah Moktar dan Dr. Hashim Yaacob. Itu antara nama besar di dalam penulisan puisi tanah air.

Penulis :

Sebelum mengakhiri wawancara ini, apakah perancangan saudara dalam bidang ini.

En. Saifullizan:

Saya bersama rakan-rakan dan pihak DBP akan membuat perancangan untuk terus memajukan dan memperkembangkan bidang sastera di Malaysia serta mendapatkan ruang-ruang untuk mempromosinya dengan lebih meluas untuk menarik minat orang ramai agar terus membaca dan menghayati hasil karya penulis-penulis di negara kita. Saya sedar laluan promosi melalui media elekronik itu agak sukar tetapi kita akan cubalah. Saya sendiri akan berusaha untuk menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti dan mengujakan pembaca sama ada dalam genre puisi, cerpen dan yang seumpamanya. Semoga kita dapat terus mewujud budaya masyarakat membaca.

Penulis :

Terima kasih diucapkan sekal i lagi kerana sudi diwawancara bagi membantu saya melengkapkan tugasan saya dalam kursus puisi di UPM.

En. Saifullizan :

Sama-sama. Terima kasih juga saya ucapkan kepada saudari kerana sudi mewawancara

Wednesday, February 11, 2009

Semangat perjuangan

Hari ini, rasanya dah lega sikit. 3 assignment dah siap. Tinggal lagi 4. Ya Allah kalutnya aku ni. Rasanya 24 jam sehari macam dah tak cukup dalam hidup. Inilah dugaannya. Belajar sambil bekerja memang mencabar. Bayangkan kadang-kadang diri ni rasanya dah macam robot. Dari awal pagi sampai ke tengah malam terus bekerja dan berfikir. Dalam tidurpun boleh berfikir lagi. Mana taknya, seawal 4.30 @ 5 pagi bangun buat assignment, lepas solat Subuh bekejar-kejar buat sarapan. Lepas suami pergi kerja dan anak-anak ke sekolah sambung buat assigment. Pukul 10 masak. Bila anak-anak yang aktif-aktif tu dah balik dari sekolah agama, sibuk pula melayan ragam mereka. Terkocoh kacah siap nak pergi sekolah sebelum 12.30. Kalau lambat susah nak parking lak.

Kat sekolah, aku mungkin antara guru yang kurang bermasyarakat dengan guru lain. Mana taknya, orang dok sibuk berborak-borak dengan pelbagai ceritera, aku dok sibuk ngan kerja-kerja sendiri dan menanda buku yang tak pernah berkesudahan tu. Tapi sekali fikir bagus gak, takde lah banyak sangat dosa aku mengumpat... He he. Ngan kawan-kawan main hai-hai bye bye je le. Nak borak rasa buang masa. Bagus gak sekurang-kurangnya aku dah pandai hargai masa. Demi masa... Kalau bercakap ngan orang pun leh sambil tanda buku. Buku Matematiklah... Kalau BM tak berani, nanti budak wat salah tanda betul, betul tanda salah.
Balik sekolah pulak sekarang setiap hari kul 6.30 petang. Aduh, jem lak nak keluar dari pagar sekolah pun susah nak lepas! Sampai rumah dah pukul 7. Tu le yang bosannya. Pergi sekolah tak sampai 5 minit, kalau speed laju sikit tak sampai 3 minit dah sampai sekolah tapi bila balik setengah jam.

Malam, lepas makan malam dan budak-budak balik ngaji tengok kerja sekolah mereka. Empat-empat semuanya 'terumi-umi' nak suruh ajar masing-masing. Selalunya dah sampai kul 10. Paksa budak-budak tu tidur. Kalau boleh ngan ayah-ayahnya sekali nak dipaksa tidur. Tapi memang aku kena tidurkan mereka dulu. Pura-pura lah baring sekali ngan mereka. Kalau tak aku tak leh wat kerja. Nasib baik gak suami aku tu jenis mudah tidur, 5 minit dah 'hilang'. Kadang-kadang siap berdengkur lagi. Apa lagi aku pun bangun sambung buat assignment. Mata tu dah kelat-kelat pun paksa gak. Tapi biasanya paling lambat pun aku boleh gi sampai kul 2 pagi je. Kalau ikutkan hati tak nak tidur dah tapi kena tidur gak. Takut kot tumbang lak nanti, ye le biasanya paling lambat pun kul 5 aku dah bangun balik. Sambung lagi wat assignment...assignment....assignment....assignment... Cuma aku berdoa jangan le aku mati dek assignment. Dah le aku tengah kalut macam ni buat yang wajib je. Sembahyang sunat entah ke mana, mengaji entah ke mana, cuma puasa Isnin Khamis tu jelah yang aku leh kekalkan. Kalau mati apa aku nak bawa? Apa aku nak jawab? Ya ALLAH, berilah aku kesempatan.

Tu le.. dengar sangat cakap kawan-kawan yang dah lepas. Mereka kata buat master ni senang. Lagi senang daripada wat bachelor dulu. Tapi masa kelas pertama dengan Puan Hajah ari tu, masa dapat assignment yang kaw-kaw punya, aku rasa nak berhenti dah tapi bila mengenangkan yuran yang rm1k lebih tu dah dibayar. Teruskan je lah. Dengan semangat perjuangan...

Tuesday, June 3, 2008

Pantun rentetan perjalanan kelas Dr. Normaliza

Laman web dicipta indah,
Di reka orang yang serba boleh,
Buat blog ni rupanya mudah.
Dulu tak tahu banyaklah dalih.

Komputer, internet banyaklah jasa,
Teknologi moden memangnya canggih,
Mula-mula buat rasa terpaksa,
Lama-lama la ni jadi ketagih.

Pengacara era namanya Reza,
Menyebar maklumat di bandar dan desa,
Terima kasih banyak Dr. Normaliza,
Semoga Allah jua yang membalas jasa.

Banyak gunanya subjek teknologi maklumat,
Ilmunya boleh diaplikasikan,
Sayu rasanya bila kelas dah tamat,
Salah dan silap harap maafkan.

Resepi kek coklat basah

Bahan-bahan

1/3 butter
1 cawan gula
3 sudu besar koko dibancuh/masak dengan air
4 biji telur
1 camca vanilla
1 setengah cawan tepung gandum

Cara membuatnya:

Pukul butter dan gula. Kemudian masukkan telur. Pukul sampai kembang.
Masukkann tepung sedikit-sedikit.
Masukkan esen vanilla
Masukkan bancuhan air koko
Bakar lebih kurang 40 minit
Lepas tu letakkan topping
Dah siap untuk di "ngap"

Selamat mencuba! Tapi kalau malas dan nak cepat lagi, beli aje lah tepung kek coklat tu...

Pengalaman-pengalaman ala-ala mistik gitu...

Aku telah mula tinggal di asrama SGB pada 1986 iaitu dalam tingkatan 1. Biasalahkan kehidupan di asrama amat menyeksa dan menyesakkan. Namun apakan daya... Sebagai murid rancangan khas lah katakan... Nak berulang dari rumah.. jauh...

Di asrama macam-macam ada... Aku ni jenis keras hati sikit. Susah nak percaya cerita-cerita hantu ni. Tapi bila kawan-kawan mula terjerit-jerit histeria, aku terpaksa akui bahawa alam tu wujud di asramaku. Ada yang sampai nak terjun bangunan, maka untuk menyelamatkan keadaan, semua penghuni asrama yang lebih daripada 100 orang itu dimasukkanlah ke surau.
Bila dikumpulkan di surau, rupa-rupanya berjangkit. Lagi ramai yang menjerit. Alhamdulillah aku ok. Masa tu lah aku jadi di antara pembantu warden. Berbuih mulut membaca ayat-ayat suci. Di samping itu, tugas aku melempang orang. Ye lah.. kalau yang betul-betul kena gangguan tak pe lah kita tolong. Ini ada yang bila ditampar boleh cakap "aduh sakitlah". Lepas tu terus sedar diri. Apa maknanya tu yek..? Tak ke mengada-ngada namanya tu.

Boleh kata tiap-tiap tahun akan tiba satu musim histeria. Masa aku tingkatan 5, aku pegang kaki seorang budak debab yang kena histeria. Dia punyalah kuat, sekali dia uja, tercampak aku kat dinding surau. Masya Allah, sakitnya. Lepas tu aku kurangkan ambil bahagian dalam menangani masalah budak histeria.

Masa aku tingkatan 6 lagi dahsyat dugaannya. Kebetulan warden kami pindah rumah baru. Jadi, dia bagilah bilik warden tu kat kami yang cuma 6 orang tu jadikan bilik belajar. Disebabkan bilik tu cantik dan lengkap dengan bilik air dan seumpamanya, kamipun bukan setakat belajar tetapi berumah bertangga (tidur baring le) kat bilik tu, dah tak naik ke dorm lagi. Macam-macam pengalaman yang kami lalui sampai menggigil-gigilpun pernah. Percaya tak percaya, aku pernah nampak "kain putih" yang melayang-layang kat atas bumbung kantin selepas detik 12 malam. Nasib baik aku tak mamai lepas menyaksikan "show" tersebut, mungkin sebab dia tak tunjuk muka. Seramnya...

Tapi, yang paling aku tak leh lupa pasal buah mangga. Kat depan bilik kami tu ada sebatang pokok mangga epal yang memang lebat buahnya. Satu malam, waktu dah penat belajar pada tengah malam tersebut, tiba-tiba aku tercakap "Kalau kita dapat makan buah mangga sekarang ni, kan sedap". Kawan aku terkejut mendengarnya dan memberi isyarat supaya aku tutup mulut. Masa tu baru aku perasan apa yang aku cakap. Aku tak de niat pun cuma sekadar nak melepaskan kebosanan.

Keesokan paginya, sewaktu pintu bilik dibuka untuk pergi sarapan, kami amat terkejut apabila melihat beberapa biji buah mangga tersusun rapi memenuhi bendul pintu bilik kami. Pelik... namun itulah hakikatnya. Aku ambil buah tu dan letakkan di bawah pokok mangga tersebut. Sampai sekarang aku terfikir, siapakah yang menyusun buah mangga itu di pintu bilik kami. Tak mungkin kawan-kawan sebilikku kerana aku amat pasti tiada siapa yang keluar dari bilik kami sebelum itu dan begitulah rutin harian kami yang akrab yang hanya akan buka pintu dan pergi bersarapan setelah keenam-enamnya siap. Budak-budak lain tak mungkin mendengar kata-kata aku sebab suara aku cakap tu memang perlahan... tapi aku tekad "jangan biarkan diri diganggu misteri..." Makanya, biarkan saja berlalu.

Sunday, May 25, 2008

HARAPAN






Hari ini aku menyimpul harapan
Harapan yang tidak ketahuan akan kesudahan
Kesudahan berseri indah mengecapi kejayaan atau hanya tinggal harapan





Kepada suami
Teruskan teguh kukuh memetri janji menyiram subur benih cinta
Dalam mengukir bahagia usah ada dusta kata nista





Kepada anak
Sentiasalah membina jati diri hiasi peribadi
Usah cemari nilai insani dalam menggapai kejayaan duniawi





Kepada keluarga
Tanamkan kasih sayang benihkan keimanan
Usah biarkan anak cucu mencemar keturunan



Kepada teman seperjuangan
Kuatkan semangat bulatkan tekad biarpun perjalanan ini disulam sengsara
Teruskan mendidik anak bangsa menjadi kebanggaan bangsa dan negara



Kepada pensyarah
Kentalkan semangat melimpahkan ilmu tanpa keraguan
Di darul akhirah jadi bekalan terhadap keikhlasan







Kepada masyarakat
Eratkan perpaduan elakkan persengketaan
Perpecahan hanya membuka ruang musuh bertepuk tangan





Kepada rakan kerjaya
Usah ada perebutan mengejar pangkat dan kedudukan
Hanya berkat Tuhan rezeki halal jadikan idaman







Kepada diri
Jangan lalai leka teruskan berusaha berdoa moga hari ini lebih baik dari semalam
Pantang kalah menyerah berserah agar hari esok lebih baik dari hari ini yang kelam



Kepada pembaca
Bukanku sekadar menaruh harapan menagih janji yang belum pasti dapat dikotakan
Tapi menjadi taruhan meneruskan perjuangan sebelum jasadku dikapankan.













Memori Duka Seorang Yang Ku Panggil Mak

Mengenang pemergian bonda tersayang – 11 November 1998

Mak,
dengan panggilan keramat itu
masih aku terasa
hangatnya sentuhan jari-jemarimu
lembutnya tanganmu membelai helaian rambutku
manisnya senyumanmu walau tak bermadu
bersinarnya matamu dalam sendu

mak,
dalam hidupmu...
kau melalui jalan sukar yang berliku
kau tabah mengharungi segala kepayahan
yang bertandang kerana hasad dengki
manusia yang kau angkat umpama saudaramu sendiri

dan sememangnya...
kesengsaraanmu tak bertepi
dengan wujudnya manusia durjana
dalam dunia yang fana ini
wanita sebaikmu terus dianiayai
hanya kerana kau tidak menunaikan hajat mereka
bermenantukan putera-puterimu

tidak tega kumelihat
saat kau menangis meratap menahan segala azab
akibat kiriman makhluk halus si jiran biadab

berdosakah aku mak...
yang terlalu sukar untuk mempercayai
kerana segalanya tidak dapat dibukti
walau nyata kau dizalimi
pakar perubatanpun angkat tangan kanan dan kiri
tanda tiada ubat lagi yang dapat mereka beri
bomoh pawang tak kuyakini cuma ustaz yang dicari
untuk meredakan kesakitanmu yang tak terperi

mak,
tawakal kita kehadrat Ilahi
terbalas jua akhirnya
bila mereka berlutut menyerah diri
mengakui kesilapan sendiri

tapi...
untuk apa mak???
saat itu kau telah semakin menghampiri
noktah kehidupan

mak...
dalam sengsaramu kau masih mampu menasihati
agar aku tidak mendendami
manusia kejam yang berajakan syaitan di hati
biar sahaja pembalasan yang Esa akan mereka rasai

kini...
walau telah hampir sedekad kau pergi
mengadap pencipta Yang Maha Agung
kisah dukamu tetap kemas dalam lipatan memori
pengorbananmu akan kusanjung
dan kupahatkan kukuh di sudut hati
walau jasadmu telah bersemadi
Al-Fatihah akan sentiasa ku kirimi

Abangku Tersayang



Didedikasikan untuk abang Teh tersayang



Ceria senyumanmu terlalu sukar untuk ku tafsirkan
Redup renunganmu terlalu sukar untuk aku mengertikan
Titisan air matamu terlalu sukar untuk aku saksikan
Namun aku tahu dan aku pasti
Kolam hatimu sering berkocak berombak
Jiwamu tidak setenang wajahmu yang tidak puas ditatap


Kau insan mulia yang ku sanjung ku puja
Terlalu bijak kau menyimpan rahsia mengunci bicara
Terlalu kukuh kau berpegang pada prinsip hidup
Jati dirimu terlalu unggul kukuh teguh
Walau dikelilingi mat pit, mat rempit yang tiada arah tujuan
Berjaya kau tepis godaan malah mampu membawa mereka balik ke pangkal jalan


Aku terlalu kagum dengan ketabahanmu
Biarpun kau hanya seorang pemuda desa
Yang dulunya diperlekeh dan tak diperdulikan
Alhamdulillah akhirnya kau mampu memberi kesedaran
Malah membakar obor menyuluh kegelapan
Masyarakat kelilingmu yang tiada haluan


Abangku tersayang
Kepadaku dan saudara seperutmu, telah terlalu banyak yang kau berikan
Dari kecil hingga kini setelah aku bergelar isteri
Kau terus memberi perhatian, menjadi payung kehidupan
Tidak akan mampu aku membalas segala jasa dan pengorbanan
Cuma sekelumit bakti selagi hayatku di kandung badan


Ingin ku rungkai satu persoalan yang hingga kini tiada jawapan
Hingga bila lagi kau akan hidup bersendirian tiada berteman
Telah separuh abad usiamu kau korbankan
Wasiat emak dan abah yang telah pergi belum dapat ku kotakan
Nak ku carikanmu seorang isteri, kau kata tak mahu menambah bebanan
Kini aku hanya pasrah berserah kepada ketentuan Tuhan