Mengenang pemergian bonda tersayang – 11 November 1998
dengan panggilan keramat itu
masih aku terasa
hangatnya sentuhan jari-jemarimu
lembutnya tanganmu membelai helaian rambutku
manisnya senyumanmu walau tak bermadu
bersinarnya matamu dalam sendu
mak,
dalam hidupmu...
kau melalui jalan sukar yang berliku
kau tabah mengharungi segala kepayahan
yang bertandang kerana hasad dengki
manusia yang kau angkat umpama saudaramu sendiri
dan sememangnya...
kesengsaraanmu tak bertepi
dengan wujudnya manusia durjana
dalam dunia yang fana ini
wanita sebaikmu terus dianiayai
hanya kerana kau tidak menunaikan hajat mereka
bermenantukan putera-puterimu
tidak tega kumelihat
saat kau menangis meratap menahan segala azab
akibat kiriman makhluk halus si jiran biadab
berdosakah aku mak...
yang terlalu sukar untuk mempercayai
kerana segalanya tidak dapat dibukti
walau nyata kau dizalimi
pakar perubatanpun angkat tangan kanan dan kiri
tanda tiada ubat lagi yang dapat mereka beri
bomoh pawang tak kuyakini cuma ustaz yang dicari
untuk meredakan kesakitanmu yang tak terperi
mak,
tawakal kita kehadrat Ilahi
terbalas jua akhirnya
bila mereka berlutut menyerah diri
mengakui kesilapan sendiri
tapi...
untuk apa mak???
saat itu kau telah semakin menghampiri
noktah kehidupan
mak...
dalam sengsaramu kau masih mampu menasihati
agar aku tidak mendendami
manusia kejam yang berajakan syaitan di hati
biar sahaja pembalasan yang Esa akan mereka rasai
kini...
walau telah hampir sedekad kau pergi
mengadap pencipta Yang Maha Agung
kisah dukamu tetap kemas dalam lipatan memori
pengorbananmu akan kusanjung
dan kupahatkan kukuh di sudut hati
walau jasadmu telah bersemadi
Al-Fatihah akan sentiasa ku kirimi

No comments:
Post a Comment