Sunday, May 25, 2008

Abangku Tersayang



Didedikasikan untuk abang Teh tersayang



Ceria senyumanmu terlalu sukar untuk ku tafsirkan
Redup renunganmu terlalu sukar untuk aku mengertikan
Titisan air matamu terlalu sukar untuk aku saksikan
Namun aku tahu dan aku pasti
Kolam hatimu sering berkocak berombak
Jiwamu tidak setenang wajahmu yang tidak puas ditatap


Kau insan mulia yang ku sanjung ku puja
Terlalu bijak kau menyimpan rahsia mengunci bicara
Terlalu kukuh kau berpegang pada prinsip hidup
Jati dirimu terlalu unggul kukuh teguh
Walau dikelilingi mat pit, mat rempit yang tiada arah tujuan
Berjaya kau tepis godaan malah mampu membawa mereka balik ke pangkal jalan


Aku terlalu kagum dengan ketabahanmu
Biarpun kau hanya seorang pemuda desa
Yang dulunya diperlekeh dan tak diperdulikan
Alhamdulillah akhirnya kau mampu memberi kesedaran
Malah membakar obor menyuluh kegelapan
Masyarakat kelilingmu yang tiada haluan


Abangku tersayang
Kepadaku dan saudara seperutmu, telah terlalu banyak yang kau berikan
Dari kecil hingga kini setelah aku bergelar isteri
Kau terus memberi perhatian, menjadi payung kehidupan
Tidak akan mampu aku membalas segala jasa dan pengorbanan
Cuma sekelumit bakti selagi hayatku di kandung badan


Ingin ku rungkai satu persoalan yang hingga kini tiada jawapan
Hingga bila lagi kau akan hidup bersendirian tiada berteman
Telah separuh abad usiamu kau korbankan
Wasiat emak dan abah yang telah pergi belum dapat ku kotakan
Nak ku carikanmu seorang isteri, kau kata tak mahu menambah bebanan
Kini aku hanya pasrah berserah kepada ketentuan Tuhan

No comments: