Sunday, May 25, 2008

HARAPAN






Hari ini aku menyimpul harapan
Harapan yang tidak ketahuan akan kesudahan
Kesudahan berseri indah mengecapi kejayaan atau hanya tinggal harapan





Kepada suami
Teruskan teguh kukuh memetri janji menyiram subur benih cinta
Dalam mengukir bahagia usah ada dusta kata nista





Kepada anak
Sentiasalah membina jati diri hiasi peribadi
Usah cemari nilai insani dalam menggapai kejayaan duniawi





Kepada keluarga
Tanamkan kasih sayang benihkan keimanan
Usah biarkan anak cucu mencemar keturunan



Kepada teman seperjuangan
Kuatkan semangat bulatkan tekad biarpun perjalanan ini disulam sengsara
Teruskan mendidik anak bangsa menjadi kebanggaan bangsa dan negara



Kepada pensyarah
Kentalkan semangat melimpahkan ilmu tanpa keraguan
Di darul akhirah jadi bekalan terhadap keikhlasan







Kepada masyarakat
Eratkan perpaduan elakkan persengketaan
Perpecahan hanya membuka ruang musuh bertepuk tangan





Kepada rakan kerjaya
Usah ada perebutan mengejar pangkat dan kedudukan
Hanya berkat Tuhan rezeki halal jadikan idaman







Kepada diri
Jangan lalai leka teruskan berusaha berdoa moga hari ini lebih baik dari semalam
Pantang kalah menyerah berserah agar hari esok lebih baik dari hari ini yang kelam



Kepada pembaca
Bukanku sekadar menaruh harapan menagih janji yang belum pasti dapat dikotakan
Tapi menjadi taruhan meneruskan perjuangan sebelum jasadku dikapankan.













Memori Duka Seorang Yang Ku Panggil Mak

Mengenang pemergian bonda tersayang – 11 November 1998

Mak,
dengan panggilan keramat itu
masih aku terasa
hangatnya sentuhan jari-jemarimu
lembutnya tanganmu membelai helaian rambutku
manisnya senyumanmu walau tak bermadu
bersinarnya matamu dalam sendu

mak,
dalam hidupmu...
kau melalui jalan sukar yang berliku
kau tabah mengharungi segala kepayahan
yang bertandang kerana hasad dengki
manusia yang kau angkat umpama saudaramu sendiri

dan sememangnya...
kesengsaraanmu tak bertepi
dengan wujudnya manusia durjana
dalam dunia yang fana ini
wanita sebaikmu terus dianiayai
hanya kerana kau tidak menunaikan hajat mereka
bermenantukan putera-puterimu

tidak tega kumelihat
saat kau menangis meratap menahan segala azab
akibat kiriman makhluk halus si jiran biadab

berdosakah aku mak...
yang terlalu sukar untuk mempercayai
kerana segalanya tidak dapat dibukti
walau nyata kau dizalimi
pakar perubatanpun angkat tangan kanan dan kiri
tanda tiada ubat lagi yang dapat mereka beri
bomoh pawang tak kuyakini cuma ustaz yang dicari
untuk meredakan kesakitanmu yang tak terperi

mak,
tawakal kita kehadrat Ilahi
terbalas jua akhirnya
bila mereka berlutut menyerah diri
mengakui kesilapan sendiri

tapi...
untuk apa mak???
saat itu kau telah semakin menghampiri
noktah kehidupan

mak...
dalam sengsaramu kau masih mampu menasihati
agar aku tidak mendendami
manusia kejam yang berajakan syaitan di hati
biar sahaja pembalasan yang Esa akan mereka rasai

kini...
walau telah hampir sedekad kau pergi
mengadap pencipta Yang Maha Agung
kisah dukamu tetap kemas dalam lipatan memori
pengorbananmu akan kusanjung
dan kupahatkan kukuh di sudut hati
walau jasadmu telah bersemadi
Al-Fatihah akan sentiasa ku kirimi

Abangku Tersayang



Didedikasikan untuk abang Teh tersayang



Ceria senyumanmu terlalu sukar untuk ku tafsirkan
Redup renunganmu terlalu sukar untuk aku mengertikan
Titisan air matamu terlalu sukar untuk aku saksikan
Namun aku tahu dan aku pasti
Kolam hatimu sering berkocak berombak
Jiwamu tidak setenang wajahmu yang tidak puas ditatap


Kau insan mulia yang ku sanjung ku puja
Terlalu bijak kau menyimpan rahsia mengunci bicara
Terlalu kukuh kau berpegang pada prinsip hidup
Jati dirimu terlalu unggul kukuh teguh
Walau dikelilingi mat pit, mat rempit yang tiada arah tujuan
Berjaya kau tepis godaan malah mampu membawa mereka balik ke pangkal jalan


Aku terlalu kagum dengan ketabahanmu
Biarpun kau hanya seorang pemuda desa
Yang dulunya diperlekeh dan tak diperdulikan
Alhamdulillah akhirnya kau mampu memberi kesedaran
Malah membakar obor menyuluh kegelapan
Masyarakat kelilingmu yang tiada haluan


Abangku tersayang
Kepadaku dan saudara seperutmu, telah terlalu banyak yang kau berikan
Dari kecil hingga kini setelah aku bergelar isteri
Kau terus memberi perhatian, menjadi payung kehidupan
Tidak akan mampu aku membalas segala jasa dan pengorbanan
Cuma sekelumit bakti selagi hayatku di kandung badan


Ingin ku rungkai satu persoalan yang hingga kini tiada jawapan
Hingga bila lagi kau akan hidup bersendirian tiada berteman
Telah separuh abad usiamu kau korbankan
Wasiat emak dan abah yang telah pergi belum dapat ku kotakan
Nak ku carikanmu seorang isteri, kau kata tak mahu menambah bebanan
Kini aku hanya pasrah berserah kepada ketentuan Tuhan

Saat itu 17 Mei 2007




Terlantar kaku tubuhku saat itu
terbaring lesu ku saat itu
terseksanya aku saat itu
berulam senduku saat itu



Ya, saat itu...
banyak meng
ajarku erti ketabahan
banyak menyedarkan ku tentang kealpaan
banyak membuka ruang keinsafan
banyak mengingatkan ku tentang kekhilafan



Saat itu...
pabila tiba-tiba jari-jemariku bagaikan kayu
urat-urat di kaki bagaikan membeku
terkedang kejang ibarat hidup segan mati tak mahu
terasa diri umpama pokok renek yang sedang layu



Ya Allah...
Aku bersyukur kehadrat-Mu
Saat itu...
kau kurniakan aku
suami dan keluarga yang masih menyayangi
teman-teman yang tidak pernah putus mengunjungi
yang menjadi sumber kekuatan di hati
mencari penawar demi meneruskan kembara ini





Ya Allah...
Aku bersyukur ke hadrat-Mu
Biarpun saat itu
aku bermuntahkan darah
hilang kudrat hilang upaya diri
hingga diusung ke sana ke sini



namun Kau pertemukan aku
akan penawar yang mampu menyembuhi
biarpun diriku kini tidak setangkas dan semekar
seperti sebelum saat itu
aku amat bersyukur dan akan terus bersyukur
dengan rahmatmu Ya Rabbi



memberiku kesempatan
untuk sujud dan terus sujud
memuji kebesaran-Mu Ilahi
aku mohon dengan hati yang tulus yang kudus
moga aku tak lagi diuji seperti saat itu.



Ceritera Guru

Tap... tup... tap... tup...
berderap bunyi sepatuku

Tap... tup... tap... tup...
menuju ke kelas mencurah ilmu

Tap... tup... tap... tup...
bulat tekad bulat nawaitu

Tap... tup... tap... tup...
mendidik anak bangsa untuk maju

Tap... tup... tap... tup...
di sini aku menjadi guru

Tap... tup... tap... tup...
di sini aku menjadi ibu

Tap... tup... tap... tup...
kadang kadang menjadi babu

Tap... tup... tap... tup...
kelas juga terpaksa ku sapu

Tup... tap... tup... tap...
sepatuku terus berderap

Tup... tap... tup... tap...
aspek kebersihan cuba kuterap

Tup... tap... tup... tap...
anak-anak kecil itu terus kucerap

Tup... tap... tup... tap...
sesekali aku bagai ingin menangis meratap

Tup... tap... tup... tap...
saban hari ke kelas yang penuh sampah sarap

Tup... tap... tup... tap...
anak-anak manja itu tidak dapat diharap

Tup... tap... tup... tap...
amat payah untuk mereka mengubah sikap

Tup... tap... tup... tap...
kerana di rumah bibik jadi pelengkap

Tap... tap... tup... tup...
sepatuku berderap perlahan

Tap... tap... tup... tup...
terkedu aku mendengar bantahan

Tap... tap... tup... tup...
sepatutnya ibu bapa yang berikan didikan

Tap... tap... tup... tup...
agar anak-anak mementingkan kebersihan

Tap... tap... tup... tup...
sedihnya guru kerana sering dipersalahkan

Tap... tap... tup... tup...
menyuruh murid membersihkan kelaspun nak disaman

Tup... tap... tup... tap...
tidak sedarkah mereka akan suruhan Tuhan

Tup... tap... tup... tap
menjaga kebersihan itu tuntutan iman




Janji Seorang YB

Dulu kau kata...
"Pilihlah aku
aku pasti akan membela nasibmu
anak bangsaku
demi negara yang kucintai"

maka...
kau mendapat mandat itu
apa yang telah kau lakukan???
pembangunan apa yang kau bawakan???
buat kami
penyokong yang merealisasikan impianmu

kau...
nampaknya kenyang sendirian
kroni-kronimu kau limpahkan kekayaan
tender projek kau sorokkan
dari pengetahuan yang berkelayakan

jelas...
kau hanya pandai bermain kata
nasib penduduk tidak kau bela
melainkan sibuk menunjuk kuasa
seolah kami tidak bermata
melihat kemungkaran dan ketidakadilan bermaharajalela

kini...
kau lihat sendiri
apa yang telah terjadi
akibat sikap pentingkan diri
kau tidak lagi diundi
kerana janji yang kau mungkiri

sila...
muhasabah diri
cari kesilapan sendiri
usah asyik menuding jari
nasib anak bangsa usah diperjudi
moga keinsafan mensucikan hati

Erti Persahabatan

Kau satu dalam seribu
Sikapmu penuh pengertian
Tika suka tika duka
Kau selalu di sampingku
Meniupkan kata semangat membina sebuah harapan

Dulu kita selalu bersama
Di mana ada aku di situlah kau ada
Hingga membenihkan cemburu di hati mereka
Yang iri dengan keakraban kita
Hingga ada yang buruk sangka

Kini tak mungkin dapat diulangi lagi
Segalanya cuma tinggal kenangan
Dek kesibukan kehidupan seharian
Menunaikan kewajipan sebagai isteri dan wanita berkerjaya
Yang terpikul di pundak kita sejuta bebanan
Yang memustahilkan kita untuk sering berkunjungan
Namun kau masih setia mendengar setiap keluhan
Menyuntik ketenanganku pada setiap kekalutan
Alangkah indahnya sebuah persahabatan
Yang kita bina atas sebuah keikkhlasan dan kejujuran

Friday, May 2, 2008

Permata hidup


Pada suatu kelahiran
Membawa seribu kerahmatan
Yang membahagiakan
Yang tak mungkin dapat dibeli
Dengan segunung emas atau wang berjuta
Itulah rahmat Tuhan
Kehadiranmu
Mengikat erat kasih sayang ummi ayah
Dirimu tak akan dapat dicari walau ke hujung dunia
Jika tanpa kurniaan-Nya
Shukran jazilan YA Allah
Kau hadirkan mereka menjadi penggerak penguat semangat
Untuk ku meneruskan perjuangan
Memacu kejayaan dalam kehidupan
Yang penuh liku , cabaran dan dugaan
Permata hatiku
Ummi menyusun sepuluh jari memohon kemaafan
Demi sebuah cita-cita dan amanah almarhumah nendamu
Saban malam kalian ummi tinggalkan
Di waktu perdana yang sepatutnya kita menikmati kemanisan suatu pertemuan

Suamiku



Kau lelaki

Kau suami

Kau sahabat

Kau kekasih

Kaulah buah hati

Kau insan berhemah

Kau insan penyabar

Kau insan penyayang

Kau pandai syukuri nikmat

Kau selalu jauhi laknat

Kau tabah menghadapi

Kerenah anak dan isteri

Kau selalu berada di sisi

Kehadiranmu menjadi penyeri

Hidupku sering rasa terisi

NAMUN KADANGKALA

Aku kalut

Aku takut

Aku tak sanggup

Kiranya kau berilusi

tika aksara usia 40 bakal kau tempuhi

Usahlah engkau berubah

Pasti jiwaku kan parah

Doaku sentiasa mengiringi

Agar tiada niatmu di hati

Menyunting bunga lain di menjadi suri

Aku isterimu yang setia

MEnghamba diri sepanjang usia

Selagi diri masih upaya

Selagi dikurniakan Allah nyawa

Janganlah aku dipersia

SGB



SGB.....

SGB.......

SGB ..........

Di dadamu terpahat seribu memori

Melalui detik suka duka tawa ria

Sendu tangis dan harapan

Seorang yang bernama remaja

Di atas tanahmu yang kuinjak

Aku pernah tersungkur

Namun dari rebah bingkas aku bangun

Dan terus cuba mencipta kecemerlangan

Tapi apakan daya

Walau tidak mampu mengukir kegemilangan

Namun aku puas aku bersyukur kerana di bumimu

Banyak mengajar aku mengenali

Rencam pahit manisnya sebuah kehidupan

Dalam menimba segunung ilmu pengetahuan

Lukisan kenangan di Sekolah Ghafar Baba, Melaka (1986-1992)